BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

03 April, 2010

Walau siapa dirimu, jangan dilupakan tugas ini


Di celah-celah kesibukan manusia mencari pulangan harta dan gaji untuk menunaikan tanggungjawabnya sebagai suami, bapa, anak dan sebagainya. Ingatan berterusan diperlukan agar kita semua tidak mengabaikan usaha untuk mencari bekalan untuk kehidupan hakiki.

Jika kita ingin dianggap ‘manusia' dan bukan seperti ‘binatang ternak' di sisi Allah. Ingin mendapat kedudukan istimewa umat Muhammad di akhirat kelak, peruntukanlah masa secukupnya untuk melakar peta perjuangan yang patut ditempohi. Jangan sesekali kita lupa pula untuk melakarkan tahap-tahap bagi mencapainya, juga dugaan dan cabaran yang bakal mendatang.

Dari senarai panjang tugas dan objektif kehidupan kita di atas muka bumi ini, Ibn Mas'ud r.a mengingatkan sesiapa yang meluapakan sebagai ‘bangkai hidup'. Ia tidak lain dan tidak bukan,

"Al-Amr bil Maʿruf wa al-nahyu ʿAn al-Mungkar"

Iaitu : menyeru dan mengajak manusia lain kepada kebaikan dan melarang mereka dari melakukan kemungkaran.

DIRI TIDAK SEMPURNA

Walau diri masih tidak sempurna dan tidak akan sempurna kerana dosa yang pasti kita lakukan, tugas itu tidak sama sekali terangkat dari senarai kewajiban kita. Malah di waktu kita melakukan kesalahan yang sama.

Memang benar amat besar kemurkaan Allah taʿala terhadap sesiapa yang menyeru kebaikan yang dia sendiri tidak lakukannya. Pun begitu, kemurkaan Allah lebih besar kepada mereka yang melakukan kebaikan dan terus melupakan seruan kepadanya. Ia adalah dosa berganda.

Justeru itu, Allah tala sendiri mengutuk sikap Yahudi yang mana mereka TIDAK SALING MENCEGAH KEMUNGKARAN yang dilakukan oleh sesama mereka. Lihatlah firman Allah berkenaan celaan ini pada surah Al-Maidah :

كَانُوا لاَ يَتَنَاهَوْنَ عَن مُّنكَرٍ فَعَلُوهُ لَبِئْسَ مَا كَانُوا يَفْعَلُونَ

Ertnya : kerana mereka (Yahudi) itu mereka tidak saling mencegah kemungkaran yang dilakukan oleh mereka, amat buruklah apa yang mereka kerjakan. ( Al-Maidah : 79)

Dari Ibn Mas'ud r.a :

لما وقعت بنو إسرائيل في المعاصي نهتهم علماؤهم فلم ينتهوا فجالسوهم في مجالسهم وواكلوهم وشاربوهم فضرب الله قلوب بعضهم ببعض ولعنهم على لسان داود وعيسى ابن مريم

Ertinya : Apabila sahaja Bani Israel melakukan maksiat, para ilmuan mereka menegahnya, namun apabila tegahan tidak diendahkan, para ilmuan itu duduk bersama mereka di dalam majlis mereka, makan dan minum bersama mereka ( seolah-olah redha), maka kerana itu, Allah membiarkan hati-hati sama di antara satu sama lain ( kotor dan keji), dan dilaknat mereka itu dari lisan Nabi daud dan ‘Isa. ( Riwayat Ahmad)

Nabi menyebut :

والذي نفسي بيده لتأمرن بالمعروف ولتنهون عن المنكر أو ليوشكن الله عز وجل أن يبعث عليكم عذابا من عنده ثم تدعونه فلا يستجاب لكم

Ertinya : Demi Allah yang nyawaku ditangannya, mestilah bagimu menyeru kepda kebaikan dan melarang manusia lain dari kemungkaran, atau sangat hampirlah Allah ʿazza wa jalla menimpakan ke atasmu suatu azab dari sisiNya, sehingga apabila kamu berdoa, tidak lagi diperkenankan (Riwayat At-Tirmizi, Hadis Hasan)

Sekarang tugas kita, menggali ilmu sedalam mungkin sebagai benih untuk membolehkan kita membezakan mana yang mungkar dan mana yang maʿruf. Hanya melalui jalan itu, kita mampu melaksanakan tugas tersebut.

SERIBU ALASAN & ILMU BELUM MENCUKUPI

Jangan sesekali ditipu oleh Syaitan yang sentiasa mengutuk kita sebagai ‘tidak baik', ‘tidak soleh' dan ‘belum cukup ilmu' dan seribu satu macam alasan lagi. Pastikan semua bisikan itu diharungi dengan keazaman dan usaha yang tinggi untuk memadamkannya.

Hakikatnya semua kita belum cukup ilmu, namun Allah mewajibkan kita berusaha untuk menyampaikan apa yang kita faham dariNya dan sunnah rasulNya kepada manusia lain.

Berusahalah mencari kefahaman ilmu dan menyampaikannya seperti kita mencari sesuap makanan untuk diri dan keluarga.

Nabi juga bersabda :

الأنبياء لم يورثوا دينارا ولا درهما، ولكن ورثوا العلم، فمن أخذه أخذ بحظ وافر

Ertinya : Para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham ( wang dan harta), tetapi mewariskan ilmu, seseiapa yang mengambilnya maka dia telah mendapat kebaikan yang melimpah (Riwayat Abu Daud)

JIKA AJAKAN DAN TEGAHAN TIDAK DIIKUTI?

Sesudah ajakan dan larangan dalam bentuk yang sebaik mungkin, namun masih tidak didengari, tatkala itu sedarlah tugas kita hanya menyampai.

Allah menyebut:

إِنْ عَلَيْكَ إِلَّا الْبَلاغُ

Ertinya : Sesungguhnya tiada kewajiban atasmu kecuali menyampaikan (sebaiknya) ( Al-Syura : 48)

Dan juga ingatan Allah taʿala :

وَمَا أَكْثَرُ النَّاسِ وَلَوْ حَرَصْتَ بِمُؤْمِنِينَ

Ertinya : Dan sebahagian besar manusia tidak akan beriman, walaupun kamu sangat menginginkannya ( Yusuf : 103)

Akhir sekali, marilah kita sama-sama merenung teguran Allah ini

أَرَضِيتُمْ بِالْحَيَاةِ الدُّنْيَا مِنَ الْآخِرَةِ فَمَا مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا فِي الْآخِرَةِ إِلَّا قَلِيلٌ

Ertinya : Apakah kamu puas dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat? padahal kenikmatan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan) di akhirat hanyalah sedikit (Surah al-Taubah : 38)

PENUTUP

Tugasan ini boleh dijalankan melalui pelbagai bentuk dan keadah mengikut kesusaian seseorang dan kemampuannya serta kepakarannya. Sama ada melalui parti politik, NGO yang terdiri dari perkumpulan, jamaʿah dan persatuan atau juga secara individu.

Ia boleh dilaksanakan di tempat kerja, sekolah, universiti, surau, kampung, felda, di persekitaran rumah, di ruangan internet, buku, majalah, bulletin, di waktu kursus dan seminar dan banyak lagi. Jangan disempitkankan medium dan ruangnya.

Sumber:Ustaz Zaharuddin Abd Rahman

copy and paste je ni..Semoga artikel ini mmberi kesedaran kpd kite sume dlm mnyambung tugas Rasulullah S.A.W......Ameen

0 comments: